Tuesday, May 31, 2011

Kasihan Allahyarham Tan Sri P Ramlee!

Salam korang!


Semalam baca surat khabar online di office. Almaklumlah hanya ini sahaja website yang boleh dilayari kan. Yang lain banyak dah kena block. huh! Terbaca cerita menarik yang first time kot saya ketahui. Sebab sebelum ini kita hanya dihidangkan dengan sisi kegemilangan Allahyarham P Ramlee pada zaman beliau masih hidup. Jom le baca apa pula sisi gelap kehidupan beliau. Jom..

Bintang yang tiada ganti


Oleh Hafizahril Hamid













TARIKH 29 Mei hari ini merupakan genap 38 tahun Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pergi meninggalkan kita. Namun hakikatnya bak kata pepatah beliau pergi meninggalkan nama.

P. Ramlee pastinya akan dikenang dan dicatat dalam sejarah sebagai orang Melayu paling berbakat dalam bidang seni bukan sahaja pada zamannya namun tetap kekal di ingatan selagi hayat dikandung badan.

Manakan tidak kanak-kanak kecil sekarang yang jauh berbeza zamannya berbanding P. Ramlee tetap mengingati nama hebat ini melalui filem-filemnya yang tetap segar ditonton walaupun telah dimainkan berulang kali.

Dirasakan seolah-olah P. Ramlee itu seakan-akan masih hidup di kalangan kita memandangkan suara dan filem-filem lakonannya masih terus bersemarak dan berbudaya di dalam masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Pemilik nama sebenar Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh bukan sahaja berbakat dalam semua bidang seni dari lakonan ke nyanyian hinggalah pengarahan dan menggubah lagu malah dikenali sebagai insan pemurah yang tidak kenal erti kedekut setiap kali ada insan lain dalam kesusahan.

Azizah

Dilahirkan pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang, anak kepada seorang ahli pelayaran ini memang begitu mencintai bidang seni sejak dari kecil. Menurut cerita, P. Ramlee kurang berminat dalam pelajaran tetapi lebih aktif dalam bidang seni suara sama ada di sekolah atau di luar sekolah.

Memandangkan minat yang mendalam P. Ramlee telah menyertai pasukan pancaragam Terona Sekampong, Mutiara dan Rindu Malam di luar sekolah namun terhenti akibat meletus Perang Dunia Kedua.

P. Ramlee mula dikesan bakatnya bermula melalui lagu Azizah yang dimainkan pada satu acara pesta di Bukit Mertajam oleh seorang pengarah filem terkenal dari Singapura, B. S Rajhans.

Maka bermulalah karier beliau sebagai penyanyi latar dan pemain biola dalam filem pertamanya bertajuk Cinta keluaran Malay Filem Production (MFP). Selain itu beliau juga bertanggungjawab menyusun lagu-lagu latar selain melakonkan watak pembantu utama dalam filem berkenaan.

Suara emas P. Ramlee telah digunakan sepenuhnya oleh Rajhans untuk mendendangkan lagu-lagu yang dibawa oleh hero yang dikagumi ketika itu seperti S. Roomai Noor, M. Amin dan Osman Gumanti.

Terpilih

Mungkin kerana keadaan fizikalnya yang kurus, bermuka cengkung serta pipinya yang tidak licin, bakatnya tidak dinilai sepenuhnya pada peringkat awal.

Setelah membuktikan beliau boleh melakukan apa saja yang diminta dalam bidang seni, P. Ramlee akhirnya terpilih menjadi tonggak utama dalam filem Takdir Ilahi bersama aktres Neng Yatimah arahan L. Krishnan.

Kemampuannya sebagai anak seni semakin terserlah apabila filem pertama arahannya Penarik Beca keluaran tahun 1955 mendapat sambutan hebat dan terpilih sebagai Filem Terbaik Seluruh Tanah Melayu.

Walaupun telah menempa nama sebagai anak seni, namun keadaan ketika itu sangat berlainan berbanding kemewahan yang melimpah ruah sekarang.

Banglo usang

Beliau bersama pelakon-pelakon lain seperti A.R Tompel, Kasma Booty, D. Harris dan lain-lain tinggal bersama keluarga masing-masing di sebuah banglo usang di Jalan Ampas.

Keadaan ketika itu dimana mereka tinggal dan bekerja di bawah satu bumbung boleh dikatakan makan, tidur malah bernafas hanya untuk seni. Pastinya keadaan sebegini tidak menjadi masalah bagi P. Ramlee yang sudah biasa berbual, berbincang malah bertengkar kerana filem.

Suasana sebeginilah yang mematangkan pemikiran seni beliau apatah lagi dengan hubungan baiknya dengan pengarah filem dan penggubah lagu.

Selain itu P. Ramlee sangat dikenali sebagai seorang yang cepat mesra dan suka bersembang dengan pelbagai golongan masyarakat tanpa mengira darjat dan keturunan. Ini sekaligus membolehkan beliau memahami denyut nadi masyarakat serta ragam dan telatah hidup manusia yang kemudian diserap dalam filem-filemnya.

Maka hasilnya segala gelagat dan tingkah laku manusia serta pelbagai asam garam kehidupan manusia menjadi antara bahan utama beliau dalam berkarya selain sebagai satu usahanya dalam memperbetulkan masyarakatnya.

Ini menjadikan karya P. Ramlee sangat dekat di hati masyarakat sehingga melahirkan ciptaan yang sehingga kini tidak lapuk dek zaman.

Kelemahan

P. Ramlee sepanjang hidupnya dikenali sebagai seorang yang tidak terpengaruh dengan dunia materialisme. Ketika kemuncaknya sebagai anak seni, kemewahan hidup yang mengulit beliau nyata tidak melupakan asal usul dirinya.

Menurut seorang rakan baik beliau yang juga Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein, P. Ramlee tidak langsung memikirkan tentang soal masa depannya.

Beliau begitu mudah terperangkap dengan pujuk rayu serta mudah kasihan dengan orang yang bercerita tentang kesusahannya. Satu sifat P. Ramlee yang paling menyerlah adalah terlalu baik hati sehingga mengakibatkan beliau selalu ditipu.

Sesiapa sahaja yang berjumpa dengannya bertujuan meminta sedekah dan bantuan pasti tidak akan pulang dengan tangan kosong.

P. Ramlee sememangnya sangat suka bersedekah dan menolong orang lain terutama golongan anak yatim yang mana semua ini dikeluarkan hasil dari duit poketnya sendiri.

Ditipu

Malangnya terdapat manusia yang sering mengambil kesempatan dengan menipu beliau malah ada yang sanggup menipu dengan meminta bantuan untuk mendirikan masjid. Setelah begitu banyak duitnya keluar namun sampai ke sudah bayang masjid pun tak ada.

Ujar Abdullah lagi, sifat terlalu bermurah hati ini serta percaya kepada semua orang bahawa mereka juga bersifat jujur sepertinya menjadi antara punca kejatuhan beliau sebelum pengakhir riwayatnya.

“Mereka datang dengan niat mahu mengikis duit P. Ramlee dengan cara meminta derma dan bantuan tetapi sebenarnya mereka berbohong kerana semua itu tidak benar.

“Ada antara mereka yang berkata ditimpa malapetaka , terkandas dan sebagainya tetapi itu tidak benar kerana mereka tahu P. Ramlee adalah seorang yang baik hati dan tidak bakhil seperti orang lain di Jalan Ampas,” katanya.

Selain itu ketika hayatnya, beliau sering saja ditipu oleh pihak-pihak promoter yang enggan membuat bayaran setelah beliau dan rakan-rakan selesai membuat pertunjukan.

“Bila selesai show ada pihak penganjur yang menghilangkan diri tidak mahu membayar maka terpaksalah P. Ramlee mengeluarkan wangnya sendiri sebagai ganti-rugi kepada rakan-rakan yang bersama membuat pertunjukan.

“Malah ada pihak yang menggunakan nama anak yatim untuk mencari derma atas nama pertunjukan amal. Sedangkan duit itu akhirnya masuk ke dalam poketnya sendiri,” kata Abdullah.

Dendam

Hakikat P. Ramlee menjadi bintang filem terkenal membuatkan ramai mereka yang terlibat dalam bidang seni menjadi iri hati dan menyimpan dendam serta mempunyai ramai musuh.

Malangnya ramai di antara mereka terdiri dari rakan-rakannya sendiri. Malah setelah ketiadaan P. Ramlee pun ramai di kalangan musuhnya mempertikai keperibadiannya serta mencemuh beliau sebagai seniman yang tidak apa boleh dibanggakan.

Dikatakan pernah wujud satu keadaan dimana terdapat pakatan mahu merosakkan wajah P. Ramlee untuk melenyapkan popularitinya.

Namun Tuhan masih bersama beliau kerana gerakan tersebut terbongkar dan seorang penyanyi yang dihormati ketika itu dikenali sebagai Jasni memberi amaran kepada golongan yang berlagak samseng ini supaya tidak diapa-apakan P. Ramlee.

Selain itu terdapat usaha untuk menyingkirkan P. Ramlee dari Studio Jalan Ampas melalui penyingkiran jawatannya sebagai Presiden Persatuan Artis Malaysia (PERSAMA). Gerakan Kesatuan Sekerja Pekerja-Pekerja Filem ketika itu turut sama mengheret P. Ramlee dalam masalah mengenai tuntutan gaji yang kecil.

Ini menyebabkan P. Ramlee membawa diri ke Kuala Lumpur mengakibatkan suasana di Studio Jalan Ampas semakin muram yang akhirnya ditutup.

Mereka ini akhirnya sedar bahawa kerana manusia bernama P. Ramlee inilah yang telah membawa sinar kejayaan kepada semua mereka.

Bersandarkan hasil karya dan bakat besar P. Ramlee maka adalah tidak salah untuk diberi gelaran Seniman Agung kepadanya. Bagaimanapun semua kejayaan itu tidak akan sempurna tanpa sokongan rakan sekerja termasuk mereka di belakang tabir.

Semestinya peminat tegar beliau dari segenap usia di serata dunia turut sama memainkan peranan agar karya-karyanya terus dihayati ramai dan selayaknya P. Ramlee diangkat sebagai sebutir bintang yang tiada galang gantinya.

Sengaja saya copy artikel surat khabar semalam. Kesian kan sebenarnya pada Allahyarham P Ramlee. Di sebalik kemahsyuran beliau rupanya banyak juga kepahitan yang dilalui. Semoga roh beliau sentiasa dicucuri Rahmat yang Esa.

6 comments:

::cik ungu:: said...

afzan, aku pernah tengok documentary pasal life dia kat channel History, memang meleleh air mata. Sedih gila tengok akhir hidup dia.

aimi dan pakcik hashim said...

even sekarang pun tinggalannya digunakan secara free
kesian waris2 dia x dapat apa pon

eiela said...

tuh la kesian dia, ramai orang amik kesempatan kat dia

noorafzan said...

kan..tak sangka pun. baru tahu kisah hidup dia tu.

noorafzan said...

huhu..dah la bakatnya hanya dihargai selepas dia dah tak ada. lagii la sedih.

noorafzan said...

tu la. waris dia tak ada pembelaan sewajarnya.

Followers

JOM EXCHANGE LINK DI SINI!

Kalau mahu exchange code boleh klik SINI ATAU di banner ni

-:Cabaran 30 hari kebenaran

baru lepas 8 hari..